Thursday, December 27, 2012

Obesiti di Kalangan Kanak-Kanak....Adakah normal atau boleh mengundang bahaya jika dibiarkan?

Salam dear sahabat semua...

Hari ini rasa terpanggil untuk berkongsi mengenai masalah OBESITI yang semakin hari semakin meningkat statistiknya baik di kalangan kanak-kanak, remaja mahupun orang dewasa. Di kalangan bayi juga sudah mula ada masalah obesiti ini hinggakan ada bayi yg terpaksa dipantau dan terpaksa "berdiet" supaya masalah obesiti tidak 'terbawa-bawa' hingga ke besar.


Obesiti di Malaysia telah menjadi suatu trend yang semakin membimbangkan di kalangan rakyat negara ini. Obesiti boleh mengakibatkan penyakit jantung, strok, tekanan darah tinggi, diabetes, dan kanser.

Kajian mendapati hampir 3 juta rakyat Malaysia mengalami masalah kegemukan atau obesiti pada tahun 2000. Bayangkan berapa pula jumlahnya di tahun 2012 ini???
Bagi masalah obesiti dikalangan kanak-kanak berumur 7 tahun pula adalah sebanyak 6.6% dan 13.8% bagi umur 10 tahun. Menurut kajian juga, sebanyak 12.8% daripada kanak-kanak ini adalah kanak-kanak lelaki. Masalah obesiti ini juga semakin ketara bagi remaja yg berumur 13-17 tahun.



Masalah obesiti di kalangan kanak-kanak


Apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan Obesiti?


Secara amnya, obesiti merupakan pengumpulan lemak berlebihan yang menimbun di dalam badan seseorang. Obesiti kini dianggap sebagai satu penyakit dan terjadi apabila tisu-tisu lemak menjadi keterlaluan. Lebih teruk lagi, obesiti boleh mengganggu dan mencederakan organ-organ badan dan seterusnya akan menyebabkan masalah kesihatan yang serius. Selain daripada mengehadkan kegiatan fizikal dan sosial, jangka hayat penghidapnya juga semakin pendek. (Wikipedia)


Indeks jisim tubuh atau Body Mass Index (BMI) merupakan kaedah yang digunakan untuk mendapatkan data asas tahap kegemukan dan obesiti. BMI digunakan dengan mengira berat badan dalam unit kilogram (kg) dan  dibahagikan kepada tinggi dalam unit meter kuasa dua (m2 ).


Berikut adalah Standard Indeks Pengiraan Obesiti Secara amnya:

Pertubuhan Kesihatan Sedunia menetapkan standard Indeks jisim tubuh (BMI) yang berikut untuk dewasa dan kanak-kanak.



Standard Untuk Bayi dan Kanak- Kanak:

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah membangunkan satu standard pertubuhan untuk bayi sehingga kanak –kanak berumur 5 tahun yang telah dilancarkan pada April 2006. Standard ini dipanggil WHO Child Growth Standards.

Walau bagaimanapun disebabkan oleh ketiadaan standard antarabangasa untuk definisi bagi obesiti dalam kalangan kanak-kanak yang berumur 5-14 tahun, cara ukuran obesiti bagi kumpulan ini agar mencabar.

Oleh itu Pertubuhan Kesihatan Sedunia kini sedang membangunkan satu panduan antarabangsa untuk pertumbuhan bagi kumpulan kanak-kanak sekolah dan remaja. WHO Child Growth Standards  ini dibangunkan dengan menggunakan bukti- bukti teknikal dan diharap agar negara-negara ahli Pertubuhan Kesihatan Sedunia dapat mengikut standard tersebut.


Apakah faktor-faktor yang boleh membawa kepada masalah OBESITI di kalangan kanak-kanak dan juga remaja??

Secara amnya terdapat beberapa faktor yang boleh menyebabkan masalah obesiti. Antaranya ialah:

  1. Keturunan dan faktor genetik
  2. Tiada senaman yang mencukupi
  3. Pemakanan yang tidak seimbang yg menjurus kepada kurangnya nutrisi yg lengkap dan pengambilan makanan terutamanya yang manis dan berlemak dengan kadar yg banyak
  4. Hormon
  5. Pengambilan ubat/ Rawatan
  6. Virus

Kanak- kanak dan remaja yang cenderung dalam pemakanan dan aktiviti yang tidak sihat mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk menjadi obes. Lihat sahaja aktiviti mereka di kala ini, lebih banyak menghabiskan masa di hadapan televisyen dan juga komputer. Aktiviti ini dipanggil sebagai aktiviti statik kerana hanya duduk dan tidak sedikit pun melakukan gerakan atau senaman bagi membakar kalori dalam tubuh badan. Ini tentu sahaja boleh mendatangkan masalah kegemukan dan seterusnya membawa kepada masalah obesiti jika tidak dikawal dari awal. Untuk itu, haruslah merangsang tubuh badan supaya bergiat aktif dan lakukanlah aktiviti yg dapat mengeluarkan peluh seperti bermain, menari, berenang, berkebun dan sebagainya.

Satu lagi gaya hidup yg tidak sihat ialah kanak-kanak sekarang juga amat cenderung untuk mengambil makanan segera yg kurang zatnya tetapi tinggi kandungan gula dan pengawet serta MSG. Tabiat pemakanan ini boleh membawa kepada masalah obesiti jika tidak dipantau.

Kanak-kanak yang mengalami masalah kegemukan adalah berisiko untuk menjadi obes apabila dewasa dan keadaaan ini akan menjurus kepada kewujudan masalah kronik yang lain pada masa hadapan.


Apakah pula risiko kesihatan bagi mereka yg mengalami masalah berat badan atau obesiti ini??

Sekiranya berat badan anda bertambah, pelbagai keadaan serta masalah boleh berlaku, antaranya ialah:

  • Penyakit kardioviskular (berkaitan dengan jantung)
  • Strok (angin ahmar)
  • Tekanan darah tinggi
  • Batu hempedu
  • Diabetes (kencing manis)
  • Paras kolestrol darah yang tinggi
  • Gout (klik di sini untuk info lanjut)
  • Sakit di bahagian bawah belakang badan
  • Sukar bernafas
  • Osteoartritis spina (tulang belakang), pinggang atau lutut
  • Gangguan pembuangan air kecil
  • Penyakit hati
  • Barah usus

Jadi buat mama dan ayah semua...pantaulah aktiviti dan pemakanan anak-anak anda sebelum terlambat ya. Mungkin ketika mereka baby kita rasa seronok dan rasa comel sangat jika mereka tembam kan...tapi berhati-hati ya kerana ia boleh membawa kepada masalah obesiti jika kita tidak jaga pemakanan dan aktiviti mereka. Jadikan senaman dan aktiviti luar untuk mengeluarkan peluh sebagai rutin harian mereka. Tak lama pun dalam setengah jam sudah cukup memadai. Seronok juga jika kita beraktiviti bersama-sama mereka....masa yg berkualiti bersama keluarga membawa kepada keluarga yg sihat dan keluarga yg bahagia :)


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...